Kehadiran seorang cahaya mata pastinya sangat mengujakan dan menggembirakan bagi setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga ataupun telah lama berkahwin. Kehidupan yang dahulunya dilalui berdua bakal melalui perubahan yang ketara.
Saat menanti kehadiran si kecil, banyak persoalan yang bermain di minda pasangan terutama sekali kedudukan kewangan untuk menampung semua perbelanjaan. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan prihatin, anda mestilah mengambil langkah-langkah yang tepat dan betul untuk menguruskan kewangan anda.
1. Ketahui kedudukan kewangan
Setiap pasangan ibu bapa pasti setuju bahawa keperluan si kecil mengatasi segala aspek lain. Tetapi, jangan abaikan komitmen kewangan yang sedia ada seperti pembiayaan rumah, kereta, belanja harian rumah, bil air, bil elektrik dan sebagainya kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Apabila berbincang tentang perbelanjaan keluarga, anda perlu ingat bahawa perbelanjaan yang akan datang bukan sahaja untuk keperluan bayi seperti baju, lampin dan ubat-ubatan, tetapi juga untuk keperluan ibu sebelum dan selepas bersalin.
2. Buat senarai semak
1. Ketahui kedudukan kewangan
Setiap pasangan ibu bapa pasti setuju bahawa keperluan si kecil mengatasi segala aspek lain. Tetapi, jangan abaikan komitmen kewangan yang sedia ada seperti pembiayaan rumah, kereta, belanja harian rumah, bil air, bil elektrik dan sebagainya kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Apabila berbincang tentang perbelanjaan keluarga, anda perlu ingat bahawa perbelanjaan yang akan datang bukan sahaja untuk keperluan bayi seperti baju, lampin dan ubat-ubatan, tetapi juga untuk keperluan ibu sebelum dan selepas bersalin.
2. Buat senarai semak
Ketika membuat perancangan kewangan, senarai semak perlulah dibuat terlebih dahulu kerana ia banyak membantu dalam menguruskan kewangan keluarga. Anda dan pasangan seharusnya menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang anda rasa perlu mengikut kategori dan kepentingan, seperti pakaian bayi, peralatan untuk perjalanan jauh, perabot bayi, perkakas mandian, pemakanan bayi dan lain-lain. Dengan menyenaraikannya mengikut kategori, anda dapat mengenal pasti sekiranya terdapat barang keperluan lain yang masih belum disenaraikan. Jangan lupa untuk memasukkan satu kategori, bagi keperluan kecemasan, contohnya apabila isteri terpaksa menjalani pembedahan bagi melahirkan anak atau lain-lain keperluan perubatan yang mungkin terlibat.
3. Buat perbandingan harga barangan
Ketika membeli-belah berdasarkan senarai semak anda, jangan terlalu gopoh dengan terus membeli barang pertama yang anda lihat. Luangkan sedikit masa untuk membandingkan harga jenama-jenama yang berbeza dan pastikan anda mencatat harga barangan tersebut dalam senarai semak anda. Jangan terpengaruh dengan jenama terkenal. Selalunya, anda boleh membeli barang yang sama kualitinya setanding dengan barangan berjenama, tetapi pada harga yang lebih rendah. Di samping itu, jangan malu untuk bertanya kepada jurujual tentang kegunaan barangan-barangan bayi yang dibeli. Kadangkala, barangan yang anda rasa perlu dibeli sebaik sahaja bayi dilahirkan sebenarnya hanya diperlukan apabila bayi anda lebih besar kelak.
4. Beli mengikut keperluan
Setelah selesai membandingkan harga dan barangan yang diperlukan, lihat kembali senarai semak anda. Bezakan antara barangan yang betul-betul mustahak untuk menyambut ketibaan bayi dan apa pula barangan yang boleh ditangguhkan pembeliannya pada kemudian hari. Pada masa yang sama, keluarkan senarai barang yang tidak perlu daripada senarai semak dan tandakan barangan yang boleh ditangguhkan (KIV).
5. Buat senarai permintaan (wish list)
Selalunya, ahli keluarga dan sahabat handai gemar membelikan hadiah untuk si kecil. Ada kalanya, disebabkan terlalu banyak barangan bayi yang terdapat di pasaran, mereka kurang pasti apa yang harus dibeli dan akhirnya membeli barangan seperti permainan atau lain-lain yang tidak begitu diperlukan. Oleh itu, buatlah satu senarai permintaan (wish list) untuk barangan yang anda mahu, bersama dengan harga dan tempat pembelian. Kemudian, sebarkan senarai tersebut melalui emel, blog-blog ataupun rangkaian-rangkaian sosial yang lain agar sahabat-handai anda boleh menghadiahkan barangan tersebut kepada anda.
Pada peringkat ini, anda mungkin sudah mengetahi cara-cara berhadapan dengan isu-isu kewangan yang bakal dihadapi. Jangan lupa tentang perbelanjaan akan datang yang perlu ditanggung seperti pemeriksaan bulanan bayi, pusat asuhan atau penjagaan bayi. Anda juga sepatutnya mula memikirkan tentang pilihan pelaburan bagi simpanan pendidikan anak anda. Dengan memulakan simpanan pendidikan, anda bukan sahaja menjamin masa depan si kecil, malahan masa depan sendiri juga.
Dengan mengaplikasikan langkah-langkah di atas, adalah diharapkan anda dapat melalui pengalaman indah sebagai ibu dan bapa tanpa perlu risau tentang masalah-masalah kewangan yang mungkin menimpa. Menimang cahaya mata sudah semestinya satu pengalaman yang sangat manis. Rancang kewangan dari sekarang agar kelahiran si kecil memberikan lebih makna kepada kehidupan anda.
0 comments:
Post a Comment